KUALA LUMPUR – Usahawan dan personaliti media sosial, Christy Ng tampil menyatakan hasrat untuk membantu seorang mangsa kebakaran selepas kisah wanita tersebut tular di media sosial baru-baru ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Ain dilaporkan kehilangan rumah dalam satu kejadian kebakaran di Gerik, Perak, sekali gus berdepan detik sukar bersama keluarganya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Christy meluahkan rasa simpati selain terkejut melihat satu video yang memaparkan sebuah beg tangannya masih berada dalam keadaan baik walaupun rumah tersebut hangus dijilat api.
Apa yang lebih mencuri perhatian, sejumlah wang RM30 yang disimpan dalam beg berkenaan turut ditemui dalam keadaan selamat.
“Christy nak ucapkan salam takziah kepada Ain dan keluarga. Bila nampak video itu, saya sangat terkejut. Saya percaya ini satu isyarat untuk saya tampil membantu,” katanya.
Menurutnya, dia bersama pasukannya akan berusaha meringankan beban yang ditanggung mangsa dan keluarga selepas kejadian tersebut.
“Team Christy akan cuba sedaya upaya untuk bantu Ain. Saya doakan mereka tabah dan kuat menghadapi dugaan ini,” ujarnya.
Terdahulu, kisah tersebut tular selepas seorang pengguna di TikTok berkongsi pengalaman wang duit raya miliknya terselamat daripada kebakaran kerana disimpan di dalam beg berkenaan.
Perkongsian itu bukan sahaja mengundang perhatian ramai, malah mencetuskan rasa kagum terhadap ketahanan beg tersebut serta keprihatinan Christy yang tampil menghulurkan bantuan. – MYBERITA

