Rabu, 5 Ogos 2026
spot_img
TerkiniSaksi dedah batu kecil gugur sebelum pokok hempap Ford Raptor

Saksi dedah batu kecil gugur sebelum pokok hempap Ford Raptor

BENTONG – Beberapa ketulan batu kecil dan tanah yang gugur dari lereng bukit beberapa saat sebelum sebatang pokok tumbang dipercayai menjadi petanda awal tragedi yang meragut empat nyawa di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong, berhampiran pintu gerbang Janda Baik, tengah hari semalam.

Perkara itu dikongsikan seorang wanita dikenali sebagai Rosida yang mendakwa berada di dalam kenderaan di belakang Ford Raptor dinaiki mangsa ketika kejadian berlaku.

Menurutnya, suasana ketika itu kelihatan biasa sebelum dia dan keluarganya menyedari terdapat tanah serta batu-batu kecil mula jatuh dari kawasan bukit di tepi jalan.

“Belakang Ford Raptor itu ada sebuah kereta dan kereta saya. Ketika itu kami sedang berbual mengenai tanah runtuh di kawasan tersebut.

“Anak saya yang kecil sedang membaca nombor pendaftaran Ford Raptor itu sebelum tiba-tiba pokok tumbang dan menghempap kenderaan berkenaan,” katanya menerusi ruangan komen di TikTok.

Rosida berkata, pokok berkenaan tumbang secara mengejut dari lereng bukit sebelum menghempap kenderaan mangsa dengan bunyi dentuman yang kuat.

“Pokok itu tumbang dari tepi bukit. Sebelum kejadian, ada tanah atau batu-batu kecil jatuh dari bukit.

“Dalam pada itu, tiba-tiba sahaja pokok tersebut tumbang dan terus menghempap kereta berkenaan dengan bunyi dentuman yang kuat,” katanya.

Beliau mengakui dirinya serta ahli keluarga tidak menyangka pokok berkenaan berada dalam keadaan tidak stabil atau berisiko tumbang.

Dalam masa sama, Rosida meluahkan rasa syukur apabila kenderaannya terselamat daripada dihempap pokok dalam insiden berkenaan.

“Terima kasih ya Allah kerana memberikan satu lagi peluang untuk kami,” katanya.

Terdahulu, tragedi kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu mengorbankan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Allahyarham Mohd. Radzi Rahimi, 35, bersama isterinya, Nuriani Mohammad Jafri, 36, anak mereka, Muhammad Rizz Hazim, lima tahun, serta adik iparnya, Mohammad Nizam, 40.

Kesemua mangsa berada di dalam sebuah Ford Raptor yang dihempap pokok ketika melalui Jalan Lama Kuala Lumpur menghala ke pintu gerbang Janda Baik.

Seorang lagi anak pasangan terbabit, Muhammad Rizz Haziq, lima tahun, yang dipercayai kembar kepada kanak-kanak yang maut, terselamat dan kini menerima rawatan di Hospital Bentong.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-