KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akhirnya menamatkan tanda tanya mengenai siapakah artis jemputan istimewa yang bakal berkongsi pentas bersamanya di Konsert Tradisional Gema Bumantara apabila mengumumkan nama ratu irama tradisional, Noraniza Idris.
Pengumuman yang dibuat pada sidang media konsert itu hari ini turut mencuri perhatian apabila Siti atau lebih mesra disapa Tok Ti mengakui dirinya sebak kerana merasakan persembahan lagu ikonik Hati Kama tidak akan lengkap tanpa kehadiran Noraniza.
“Saya nak mereka yang hebat ini, especially yang memperjuangkan irama tradisional ini untuk sama-sama dalam konsert ini. Sebab itulah saya emosional. Saya kata Kak Ani kena ada sebab tak lengkap Hati Kama tanpa Kak Ani,” katanya.
Selain Noraniza, Tok Ti turut mengumumkan barisan artis jemputan lain yang bakal memeriahkan konsert berkenaan ialah penyanyi Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar, serta penyanyi tempatan, Haziq Rosebi.
Menurut beliau, pemilihan artis-artis tersebut dibuat bagi meraikan serta mengangkat martabat muzik tradisional di pentas berskala besar, selain memberi pengalaman berbeza kepada penonton.
Pengumuman itu sekali gus mengakhiri spekulasi dalam kalangan peminat mengenai identiti artis yang bakal bergandingan dengan Tok Ti pada konsert berkenaan.
Di media sosial, rata-rata peminat meluahkan keterujaan apabila gandingan Tok Ti dan Noraniza Idris kembali dipertemukan di atas pentas selepas sekian lama, malah ramai menyifatkan ia sebagai kombinasi yang paling dinanti-nantikan.
Ramai turut berpendapat kehadiran Noraniza mampu menghidupkan semula nostalgia irama tradisional yang pernah mencetuskan fenomena menerusi lagu Hati Kama.
Konsert Tradisional Gema Bumantara bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 17 Oktober depan dan dijangka menghimpunkan ribuan peminat muzik tradisional dari Malaysia serta negara jiran.


