Sabtu | 03/10/2026 | 7:46:40 pm
HomeSemasaBanjir Nepal: Seorang daripada 55 rakyat Malaysia disahkan selamat

Banjir Nepal: Seorang daripada 55 rakyat Malaysia disahkan selamat

PETALING JAYA – Penantian keluarga 55 rakyat Malaysia yang hilang selepas bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal sedikit terubat apabila seorang daripada mereka akhirnya disahkan selamat selepas 37 hari terputus hubungan.

Individu berkenaan dilaporkan hadir sendiri ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu semalam sebelum berlepas pulang ke Malaysia pagi ini untuk bersama keluarganya.

Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (Masfih), Dr. R. Manivannan berkata, penemuan itu memberi kelegaan besar kepada pihaknya dan keluarga mangsa, terutama selepas tempoh panjang tanpa sebarang khabar.

“Dia melakukan perjalanan secara bersendirian dan merupakan satu-satunya pengembara solo yang kini disahkan selamat daripada senarai asal 55 rakyat Malaysia.

“Bagi Masfih dan keluarga, penemuan seorang rakyat Malaysia yang selamat pada hari ke-37 merupakan satu perkembangan amat melegakan dan sangat bermakna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Manivannan, individu berbangsa Cina itu sebelum ini berada di Nagthali Viewpoint pada pukul 3.26 petang, 25 Ogos, sehari sebelum banjir dan tanah runtuh berlaku.

Beliau berkata, kedudukan kawasan tersebut yang berada di tanah tinggi menyebabkan individu berkenaan dipercayai selamat, namun pergerakannya terjejas selepas jalan dan jambatan musnah akibat bencana.

“Menurut maklumat disampaikan oleh waris, dia terkandas untuk suatu tempoh berikutan kemusnahan jalan dan jambatan, di samping ketiadaan bekalan elektrik, air dan akses internet yang menyukarkan pergerakan serta komunikasi,” katanya.

Perkembangan itu turut menunjukkan bahawa kehilangan komunikasi untuk tempoh panjang tidak semestinya bermakna seseorang menjadi mangsa bencana, khususnya apabila kemudahan asas dan laluan perhubungan terputus.

Dalam pada itu, Manivannan berkata, 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi pula dipercayai melakukan perjalanan secara berkumpulan dan bukannya secara bersendirian.

Katanya, berdasarkan maklumat yang dikumpulkan dan disemak bersama keluarga, mereka terdiri daripada beberapa kumpulan berasingan membabitkan 23, 17, sembilan, tiga dan dua orang.

Sebahagian daripada mereka juga dilaporkan bergerak bersama kumpulan pelancong dari negara lain.

Dari segi latar belakang etnik, kumpulan berkenaan terdiri daripada 42 rakyat Malaysia berbangsa India, 11 Melayu dan seorang Cina. – KOSMO!

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Sabtu, 3 Oktober 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|