KUALA LUMPUR – Kecederaan akibat trauma tumpul di bahagian kepala dikenal pasti sebagai punca kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor, Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, perkara itu dikenal pasti menerusi bedah siasat yang dijalankan pakar patologi Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, semalam.
Menurutnya, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun turut ditahan pada hari kejadian bagi membantu siasatan berhubung kematian mangsa.
“Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun telah ditangkap pada Sabtu lepas dan permohonan reman dibenarkan selama enam hari sehingga 9 Oktober bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kumar berkata, pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis sepanjang siasatan dijalankan.
Beliau turut memberi jaminan siasatan kes berkenaan akan dilaksanakan secara menyeluruh dan profesional tanpa melindungi mana-mana pihak.
“Polis turut memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen ‘cover-up’ atau melindungi mana-mana pihak,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan serta memanipulasi fakta sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, Irene Sofiya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng.
Susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki yang juga rakan sekelas mangsa ditahan di sekitar Yong Peng kira-kira pukul 7 malam Sabtu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad sebelum ini dilaporkan berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira pukul 5.50 petang sebelum tindakan lanjut diambil. – SINAR HARIAN
