KUALA LUMPUR – Aspek kawalan keluar masuk, rondaan, kamera litar tertutup (CCTV) serta prestasi syarikat kawalan keselamatan menjadi antara perkara yang diperiksa Kementerian Pendidikan (KPM) susulan kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, di Yong Peng, Johor.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pemeriksaan menyeluruh telah diarahkan terhadap aspek pengurusan dan keselamatan sekolah berkenaan termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada hari kejadian.
Menurutnya, semakan turut dilakukan terhadap rekod rondaan dan pelaksanaan tugas syarikat kawalan keselamatan yang dilantik KPM.
“Kalau ada pihak yang dibayar untuk menjaga keselamatan sekolah tetapi gagal menjalankan tanggungjawab yang telah ditetapkan, KPM akan ambil tindakan,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Fadhlina berkata, syarikat kawalan keselamatan terbabit mempunyai skop kerja dan obligasi kontrak yang jelas termasuk mengawal keluar masuk serta melakukan rondaan di kawasan ditetapkan.
Sekiranya semakan mendapati berlaku pelanggaran skop kontrak, tindakan boleh dikenakan termasuk notis ketidakpatuhan, tindakan kewangan dan penamatan kontrak sekiranya syarat ditetapkan dipenuhi.
Beliau menegaskan KPM tidak akan menunggu untuk bertindak terhadap perkara yang berada dalam bidang kuasanya.
“Yang berada dalam kawalan kita, kita periksa. Kalau ada kelemahan, kita baiki. Kalau ada ketidakpatuhan atau kecuaian, kita ambil tindakan,” katanya. – MYBERITA
