KUALA LUMPUR – Keluarga Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, bersama rakan-rakan dan warga sekolah yang terkesan dengan kematian pelajar itu kini menerima sokongan psikososial daripada Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pasukan sokongan psikososial kementerian telah digerakkan dengan pegawai psikologi serta kaunselor akan terus memberikan bantuan mengikut keperluan.
Menurutnya, perhatian bukan sahaja perlu diberikan kepada keluarga mangsa, malah murid, rakan dan warga sekolah yang berdepan kesan emosi akibat tragedi berkenaan.
“Kita perlu faham bahawa kesan kejadian seperti ini tidak berakhir apabila perhatian media berakhir.
“Ada anak-anak dan warga sekolah yang memerlukan masa dan sokongan untuk kembali menjalani rutin mereka,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Fadhlina sebelum itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Irene Sofiya selepas beliau sendiri berada di Yong Peng dan bertemu keluarga mangsa.
Beliau berkata, berdasarkan rekod sekolah, Irene Sofiya mempunyai pencapaian akademik yang sangat baik, tidak mempunyai isu disiplin serta disenangi guru dan rakan-rakan.
“Kehilangan ini tentunya sangat dirasai bukan sahaja oleh keluarga, tetapi juga seluruh warga sekolah yang mengenali beliau,” katanya. – MYBERITA
