KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan mendahului siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau menentukan mana-mana pihak bersalah berhubung kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, di Yong Peng, Johor.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, siasatan jenayah sepenuhnya berada di bawah bidang kuasa PDRM dan kementeriannya akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses itu berlangsung.
“Siasatan jenayah ialah tanggungjawab PDRM. KPM tidak boleh menentukan seseorang itu bersalah. KPM tidak boleh mendahului pendakwaan dan kita tidak boleh menjatuhkan hukuman di luar proses undang-undang,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Menurut Fadhlina, segala maklumat diperlukan pihak polis akan diserahkan bagi membantu siasatan.
Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat spekulasi atau menghukum murid yang sedang disiasat menerusi media sosial memandangkan mereka masih di bawah umur dan proses undang-undang masih berjalan.
“Jangan kita membicarakan atau menghukum mereka terlebih dahulu melalui media sosial sebelum proses undang-undang selesai,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata KPM tetap akan menjalankan tanggungjawabnya dalam perkara yang berada di bawah bidang kuasa kementerian termasuk keselamatan sekolah, pematuhan SOP, disiplin dan pengurusan sekolah.
“PDRM akan menjalankan tugas PDRM. KPM akan menjalankan tugas KPM,” katanya. – MYBERITA
