KUALA LUMPUR – Belum sempat kerja pemulihan akibat kecurian kabel pertama diselesaikan, satu lagi kejadian sama dikesan awal pagi Isnin, sekali gus mengganggu operasi KLIA Ekspres dan KLIA Transit serta menyebabkan penumpang terpaksa berdepan perubahan jadual perjalanan.
Dua kejadian yang berlaku dalam tempoh beberapa jam itu menyaksikan kira-kira 260 meter kabel isyarat dicuri di sepanjang laluan rel antara Putrajaya dan Salak Tinggi.
Pengendali perkhidmatan berkenaan, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) memaklumkan, kejadian pertama dikesan kira-kira pukul 9 malam Ahad berhampiran Kilometer 44 (KM44), antara Stesen Putrajaya dan Cyberjaya dengan Stesen Salak Tinggi.
Menurut ERL, kejadian itu membabitkan kehilangan kabel isyarat sepanjang 180 meter yang merangkumi dua bahagian, masing-masing sepanjang 90 meter.
Bagaimanapun, ketika pasukan teknikal sedang menjalankan kerja pembaikan, satu lagi kejadian kecurian kabel sepanjang 80 meter ditemukan pada pukul 5.22 pagi Isnin di KM42.
Kecurian kedua itu membabitkan dua bahagian kabel sepanjang 40 meter setiap satu, sekali gus menyukarkan usaha memulihkan sistem isyarat yang terjejas.
“Kejadian ini melanjutkan kerja pemulihan dan menjejaskan operasi harian tren,” menurut ERL dalam kenyataan pada Isnin.
Susulan gangguan berkenaan, ERL pada awalnya melaksanakan perkhidmatan tren ulang-alik yang memerlukan penumpang dari KL Sentral menuju ke Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bertukar tren di Stesen Putrajaya dan Cyberjaya.
Perkhidmatan sementara itu beroperasi dengan kekerapan setiap 15 minit, bermula pukul 8.55 pagi dari KL Sentral dan 9.05 pagi dari KLIA Terminal 2.
Bagaimanapun, operasi tren kembali disatukan bermula pukul 11.20 pagi dengan kekerapan setiap 20 minit bagi kedua-dua arah, sementara kerja pemulihan sistem isyarat diteruskan.
“Pasukan teknikal kami sedang berusaha memulihkan sistem ini secara selamat dan secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.
ERL turut menasihatkan penumpang supaya memperuntukkan masa tambahan dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan, khususnya mereka yang mempunyai jadual penerbangan.
“Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan amat menghargai kesabaran serta kefahaman semua penumpang yang terjejas,” katanya.
Kejadian berulang itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan infrastruktur rel, khususnya sistem isyarat yang memainkan peranan penting dalam kelancaran operasi pengangkutan awam.
KLIA Ekspres dan KLIA Transit merupakan antara perkhidmatan pengangkutan utama yang menghubungkan KL Sentral dengan KLIA Terminal 1 dan Terminal 2. – BERITA HARIAN
