KAJANG – Seorang pemuda berusia 22 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 15 sebuah pangsapuri di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada orang awam sekitar jam 8.37 pagi dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah terlibat.
“Mangsa merupakan seorang penganggur dan hasil pemeriksaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi mengesahkan dia telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, adik mangsa yang menyaksikan insiden tersebut memaklumkan bahawa abangnya mengalami masalah kesihatan mental dan sedang menjalani rawatan di hospital.
Menurut Naazron, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), manakala hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat kecederaan serius kerana terjatuh dari tempat tinggi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Kajang, Inspektor Shisheewady Ruzani di talian 016-8565670 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

