KUALA LUMPUR – Semakan keputusan calon yang layak ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi sesi 2025/2026 boleh mula dibuat mulai pukul 10 pagi ini.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan KPM, pelajar yang telah mengemukakan permohonan sebelum ini boleh membuat semakan keputusan masing-masing menerusi laman sesawang rasmi di https://matrikulasi.moe.gov.my.
Bagi pelajar yang tidak berjaya dalam permohonan, permohonan rayuan boleh dikemukakan secara dalam talian bermula hari ini sehingga 21 Jun 2025.
“Keputusan semakan rayuan akan diumumkan pada 30 Jun depan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, pendaftaran secara dalam talian bagi calon yang berjaya ditawarkan ke program tersebut akan dibuka mulai esok, 22 Mei hingga 21 Jun 2025 menerusi laman sesawang kolej matrikulasi masing-masing.
Pelajar juga diminta untuk mendaftar secara fizikal di kolej matrikulasi yang ditetapkan bermula 22 Jun 2025 berdasarkan surat tawaran yang diterima.
KPM menasihati semua calon untuk menyemak maklumat dengan teliti dan mengikuti arahan yang telah ditetapkan bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar.

