KUALA LUMPUR – Usahawan terkenal, Datuk Seri Vida bersyukur dikurniakan seorang anak perempuan yang sabar dan matang walaupun sering dikecam netizen kerana berpenampilan seperti lelaki.
Anaknya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin atau lebih dikenali sebagai Cik B, 20, tidak pernah membalas sebarang kecaman yang diterima termasuk apabila dilabel sebagai ‘tomboy’.
“Setiap kali dihina dan dikecam, Cik B tak pernah membalas. Malah dia hanya berkata ‘tak mengapalah mama, biarkan mereka sebab mereka tak kenal Cik B’,” kata Vida menerusi satu video di TikTok.
Menurut Vida, anaknya seorang yang menjaga adab dan sentiasa menghormati orang tua.
“Cik B anak yang baik, sentiasa hormat orang tua. Mama tahu anak mama sangat hebat dan berhati besar. Biar seribu yang menikam, mama tetap dengan anak mama,” katanya lagi.
Vida turut berkongsi tangkap layar komen individu yang mempersoalkan penampilan anaknya dan mengaitkan dirinya dengan isu keagamaan.
“Anak sendiri keduniaan, harta dan tomboy. Pada anak tahfiz pandai pula nasihat, kejar konten,” kata individu terbabit.
Walau dihina sedemikian rupa, Vida tetap tenang dan menyifatkan kecaman itu sebagai pahala percuma buat mereka.

