RHINE-RUHR, JERMAN — Pelari kebangsaan, Umar Osman mengakui berdepan kepayahan fizikal apabila menamatkan perlumbaan 400 meter (m) lelaki dengan catatan masa 47.10 saat dalam aksi separuh akhir sebentar tadi.
Catatan itu menyaksikan Umar gagal menempah slot ke pentas final selepas mencatat masa yang lebih perlahan berbanding pusingan pertama semalam, iaitu 46.97 saat.
“Saya rasa badan macam agak lemah,” katanya.
Umar, 21, sebelum ini menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila melepasi pusingan awal dengan bergaya, namun kekurangan tenaga pada aksi penting kali ini menjejaskan peluangnya.
Walaupun kecewa, Umar tetap berterima kasih atas sokongan semua pihak dan berazam untuk kembali lebih kuat dalam kejohanan akan datang.

