KUALA KRAI – Seorang wanita warga emas berusia 69 tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan hampir reput di ruang tamu rumahnya di Pangsapuri Sri Guchil, di sini, tengah hari tadi.
Mangsa yang dipercayai telah meninggal dunia sejak tiga hari lalu, dijumpai selepas jiran terhidu bau busuk yang datang dari arah rumah wanita berkenaan sekitar jam 2 petang.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohd. Khairul Duha Abdul Halim berkata, jiran mangsa pada mulanya menyangka bau tersebut berpunca daripada bangkai haiwan seperti kucing.
“Namun selepas mengesyaki sesuatu yang tidak kena, jiran bertindak mengintai ke dalam rumah dan mendapati kipas masih berpusing, menambah rasa curiga mereka,” katanya.
Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati pintu rumah mangsa berkunci dari dalam.
Polis kemudiannya membuka pintu dan menemui mayat mangsa di ruang tamu dalam keadaan sudah hampir reput.
Menurut Mohd. Khairul Duha, maklumat daripada anak saudara mangsa menyatakan bahawa warga emas itu tinggal seorang diri dan menghidap penyakit kencing manis.
“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh tiga hari sebelum mayatnya ditemui,” katanya.
Mayat wanita berkenaan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke hospital bagi proses bedah siasat.

