PETALING JAYA – Pelakon Nazim Othman mendedahkan parut yang ditinggalkan akibat pembedahan membuang ketumbuhan otak yang dialaminya sekitar 10 tahun lalu akan kekal sehingga akhir hayat, sekali gus menjadi peringatan berharga untuk dirinya.
Nazim atau nama penuhnya Nushrul Alif Othman, 41, berkata walaupun parut tersebut tidak kelihatan kerana dilindungi rambut, ia tetap mengingatkan dirinya supaya tidak hanyut melakukan perkara yang sia-sia.
“Mana ada hilang (parut), ada sampai mati. Ini seolah-olah peringatan kekal untuk saya, ‘Nazim, kau jangan nak liar sangat, aku dulu pernah bagi kau peringatan.’ Parut itu akan sentiasa ada,” katanya ketika bersiaran langsung di TikTok.
Mengimbas kembali detik pembedahan tersebut, pelakon drama Dia Bukan Syurga itu berkongsi secara terperinci prosedur yang dijalaninya di bilik bedah.
“Doktor belah kulit kepala saya, gergaji tengkorak, korek otak dan cari di mana tumor berada. Dua jam kemudian, doktor tutup semula dan letak enam skru titanium,” jelasnya.
Nazim disahkan menghidap ketumbuhan otak pada 2015, terletak di antara bahagian mata kanan dan atas hidung. Walaupun penyakit tersebut telah berjaya dirawat, parut yang tertinggal kini menjadi simbol kekuatan dan peringatan untuk dirinya menghargai kehidupan.

