KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan premis makanan di sekitar ibu negara diarahkan tutup selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan dalam Operasi Penguatkuasaan Malam (OPM) yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
DBKL dalam kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan, operasi bersepadu itu dijalankan di Taman Maluri, Jalan Raja Bot, Jalan Hj Hussein, Kampung Bharu dan Jalan Datuk Keramat.
“Sebanyak 30 premis diperiksa menerusi operasi berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati lapan premis telah diarahkan tutup,” katanya.
Selain itu, DBKL turut mengeluarkan 16 kompaun terhadap pemilik dan pekerja premis atas pelbagai kesalahan yang dilakukan.
Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah pemilik dan pekerja gagal mendapatkan suntikan tifoid, tidak menghadiri kursus pengendali makanan, tidak memasang perangkap minyak di bawah sinki serta gagal menyelenggaranya.
“Pemeriksaan juga mendapati terdapat urungan najis tikus dan lipas di bahagian dapur serta rak penyimpanan makanan, lantai dan dinding kotor serta sisa makanan bersepah.
“Malah ada pemilik meletakkan kerusi dan meja di kaki lima serta beroperasi tanpa lesen perniagaan,” jelas DBKL.
DBKL menegaskan, tindakan penguatkuasaan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi piawaian kebersihan dan syarat kesihatan yang ditetapkan.

