KUALA LUMPUR – Usahawan sensasi, Faiz Aizif sekali lagi mencuri perhatian apabila memuat naik sebuah video di laman media sosial miliknya, mendedahkan tindakan undang-undang yang telah diambil terhadap seorang pegawai wanita yang bekerja di Majlis Daerah Baling.
Dalam video berdurasi lebih dua minit itu, Faiz memaklumkan peguamnya telah menghantar notis tuntutan (Letter of Demand, LOD) kepada pegawai berkenaan atas dakwaan fitnah yang mencalarkan nama baiknya ketika sedang menjalankan perniagaan serta membuat siaran langsung.
@faizsoul99 Isu Aishah Tapak 400 : Faiz Soul Menuntut Pampasan RM200,000 & Empat Tuntutan Lain terhadap Puan Aishah MDB. Puan Aisha Perlu memberi maklum balas terhadap tuntutan Dalam tempoh 7 Hari Sahaja. #faizsoul #airfaizsoul #keksouldap ♬ Powerful songs like action movie music – Tansa
Menurut Faiz, LOD tersebut mengandungi beberapa ketetapan utama, antaranya permintaan agar pegawai terbabit membuat permohonan maaf terbuka tanpa syarat, memuat naik kenyataan maaf yang disediakan pihaknya, menandatangani surat aku janji untuk tidak lagi menyebarkan sebarang dakwaan, serta tidak membuat tuduhan palsu pada masa hadapan.
Lebih mengejutkan, Faiz turut menuntut pampasan sebanyak RM200,000 sebagai ganti rugi terhadap dakwaan yang dilemparkan.
“Saya mohon pihak pegawai itu memberi kerjasama dan respon dalam tempoh tujuh hari sahaja. Jika tidak, saya akan teruskan tindakan undang-undang di mahkamah dan menuntut semua kos guaman ditanggung olehnya,” katanya dalam video berkenaan.
Faiz yang sering menjadi bualan warganet sebelum ini menegaskan, tindakan tegas ini diambil selepas mendakwa sudah terlalu lama menunggu penjelasan daripada pihak terbabit namun tidak menerima sebarang maklum balas.
Video berkenaan kini hangat diperkatakan di media sosial, dengan ramai yang menantikan sama ada pegawai wanita tersebut akan tampil memberi jawapan atau memilih untuk berdiam diri.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila Faiz Aizif menerima panggilan daripada seorang pegawai wanita ketika sedang berniaga sambil membuat siaran langsung di sebuah kawasan di daerah Baling. Lebih mengejutkan, pegawai itu mendakwa Majlis Daerah Baling telah dimalukan dalam siaran tersebut, selain turut mempersoalkan Faiz berhubung harga sewa tapak RM400 yang dikenakan terhadapnya.
Video kontroversi itu sebelum ini turut mendapat perhatian ramai termasuk personaliti media sosial Caprice dan pempengaruh Kieda Crepe yang mendakwa mereka juga pernah dikenakan tindakan saman ketika menjalankan perniagaan di daerah sama.

