KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Ieda Moin tampil memohon maaf kepada orang ramai selepas perkongsian kisah silamnya dalam sebuah podcast mengundang pelbagai reaksi, termasuk kecaman daripada netizen.
Menurut Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd. Moin, niat asalnya hanyalah untuk menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran, namun tidak menyangka ia disalah tafsir sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan pendengar.
“Saya benar-benar memohon maaf atas keterlanjuran saya bercerita mengenai masa lalu. Niat saya hanya untuk berkongsi agar orang lain tidak tersilap langkah seperti saya.
“Namun saya akui, saya tidak sepatutnya membuka hal peribadi secara terbuka. Saya terima teguran yang diberikan dengan hati terbuka,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Tambah penyanyi yang mula dikenali sejak tahun 1999 itu, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak termasuk penganjur podcast berkenaan, Aididitmyway, yang menurutnya telah meminta izin sebelum sesi rakaman dijalankan.
“Tuan punya podcast tiada salah dalam hal ini. Saya sendiri memberi keizinan untuk berkongsi kisah hidup saya tanpa sebarang paksaan,” ujarnya.
Ieda turut menzahirkan rasa syukur kerana masih diberikan kesedaran dan kesempatan untuk memperbetulkan kesilapan lalu, selain berterima kasih kepada mereka yang menegurnya dengan cara baik.
“Saya percaya setiap teguran datang daripada niat yang ikhlas. Terima kasih kepada semua yang menasihati saya.
“Saya anggap ini sebagai ujian dan peringatan untuk lebih berhati-hati dalam berkata-kata pada masa depan,” katanya lagi.
Sebelum ini, dalam podcast bersama pengacara Aidid Marcello, Ieda mendedahkan pernah hampir terjebak dalam hubungan songsang sewaktu muda, namun cepat sedar selepas ditegur rakan-rakan terdekat.
Walaupun kisah itu belum sampai ke tahap hubungan cinta, pendedahan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi termasuk yang menuduhnya sengaja membuka aib sendiri.

