SEPANG – Mahkamah Rendah Syariah Sepang hari ini menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan oleh penyanyi Nubhan terhadap isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Hakim Tuan Muhamad Nazri Basrawi berkata, mahkamah meneliti dua isu utama yang dibangkitkan dalam prosiding iaitu lafaz talak pertama pada tahun 2017 serta rujuk yang tidak dilaporkan, selain isu lokasi tempat tinggal plaintif.
“Bagi isu pertama, mahkamah boleh membenarkan kes pengesahan cerai untuk kedua-dua lafaz yang dilakukan pada 2017 dan 26 Ogos 2025,” katanya ketika prosiding.
Beliau turut mengarahkan pihak plaintif memasukkan satu peruntukan baharu di bawah Seksyen 52 bagi memberikan merit kepada kes untuk diteruskan.
Mengulas isu kedua berkaitan bidang kuasa dan alamat plaintif, hakim menjelaskan bahawa berdasarkan surat permastautinan yang disahkan ketua kampung Mukim Dengkil, Nubhan sah menetap di alamat tersebut, sekali gus membolehkan kes didengar di Mahkamah Syariah Sepang.
“Mahkamah melihat lokasi kawasan tempat tinggal itu dan mendapati mahkamah mempunyai bidang kuasa berdasarkan surat akuan berkenaan,” katanya lagi.
Sementara itu, peguam mewakili Afifah Hidayah, Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata pihaknya menghormati keputusan mahkamah dan bersetuju agar proses perbicaraan diteruskan dengan lancar.
“Mahkamah memutuskan boleh mendengar permohonan cerai di luar mahkamah bagi kedua-dua lafaz serta rujuk sekali, tiada masalah. Kita akur talak di tangan suami, namun isunya ialah mengapa talak pertama tidak didaftarkan sebelum ini sedangkan rujuk telah dilakukan selepas itu,” ujarnya.
Menurutnya, mahkamah juga membenarkan isu rujuk difailkan bersama di bawah Seksyen 52, justeru pihaknya akan meneruskan prosiding di mahkamah sama.
Mengenai isu bidang kuasa berdasarkan lokasi tempat tinggal, peguam berkenaan memaklumkan bahawa anak guamnya terkejut apabila plaintif mendakwa kini tinggal di Cyberjaya, sedangkan sebelum ini mereka menetap di Seremban.
“Hakim berpendapat kes boleh diteruskan di sini. Berdasarkan anak guam saya, rumah yang disebut itu sebenarnya milik sepupu plaintif dan bukan atas nama Nubhan,” katanya.
Terdahulu, dunia hiburan dikejutkan dengan berita perceraian Nubhan selepas penyanyi itu didakwa melafazkan talak terhadap isterinya di dalam kereta pada 26 Ogos lalu.

