KUALA LUMPUR – Kisah pergaduhan antara jiran yang tular di media sosial baru-baru ini berakhir dengan suasana penuh keinsafan apabila kedua-dua pihak yang terbabit akhirnya saling bermaafan dan berpelukan dalam satu pertemuan damai.
Rakaman video yang dikongsikan oleh pengguna TikTok bernama Abel, yang juga jiran kepada kedua-dua wanita berkenaan, memaparkan detik menyentuh hati apabila mereka berpelukan sambil menangis sekaligus menandakan berakhirnya pertelingkahan yang sebelum ini mencetuskan perhatian ramai.
@is8idfckno_ Assalamualaikum, saya Abel (Jiran kanan) . Kata sepakat telah dilakukan di majlis kedamaian antara kami bertiga dan saya sendiri Abel ingin memohon maaf sekiranya ada berlaku perselisihan faham dan segala salah silap daripada pihak saya juga. Setiap manusia melakukan kesalahan termasuk diri sendiri, maka ambillah iktibar dgn apa yg telah terjadi. Setiap yg berlaku ada hikmahnya. Terima kasih semua. @HADIKAISY_05 #fyp ♬ sonido original – L✨
Menurut Abel, pertemuan tersebut diadakan sebagai “majlis kedamaian” bagi menyelesaikan salah faham yang berlaku antara mereka.
“Assalamualaikum, saya Abel (jiran kanan). Kata sepakat telah dilakukan di majlis kedamaian antara kami bertiga. Saya sendiri ingin memohon maaf sekiranya ada berlaku perselisihan faham dan segala salah silap daripada pihak saya juga,” katanya dalam kapsyen video berkenaan.
Beliau turut menambah bahawa setiap manusia tidak terlepas daripada kesilapan dan menganggap kejadian tersebut sebagai satu pengajaran bermakna.
“Setiap manusia melakukan kesalahan termasuk diri sendiri, maka ambillah iktibar dengan apa yang telah terjadi. Setiap yang berlaku ada hikmahnya,” tulisnya lagi.
Selain dua wanita yang terlibat, anak-anak mereka juga dilihat bersalaman dan berpelukan sambil menangis.
Perkongsian itu mendapat sambutan positif daripada pengguna media sosial yang meluahkan rasa syukur atas perdamaian tersebut.
“Kadang-kadang perlunya netizen untuk selesaikan keegoan dan kekhilafan. Manusia juga memerlukan manusia lain untuk menegur kesilapan diri,” komen pengguna TikTok, Ziera.
“Maknanya yang ini episod akhir dah lah. Alhamdulillah penamat yang terbaik,” tulis Zainuddin Mat Zin.
“Masa mereka bergaduh, sedih tengok jiran bermasam muka. Bila tengok video ni, rasa seronok. Berbaiklah sesama jiran, kadang-kadang amarah itu cuma ego kita,” kata pengguna lain, Bonda Sayf.
Sebelum ini, tular rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan pergaduhan melibatkan lima wanita di kawasan perumahan Bukit Gambir, Johor, menggunakan beberapa perkakas seperti penyapu, penyodok sampah dan gayung.

