GEORGE TOWN – Penasihat Hartanah bagi Petronas, Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif, dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perancangan Bandar dan Wilayah pada Upacara Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
Penganugerahan tertinggi itu disempurnakan oleh Canselor USM, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Maimunah, yang juga bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur dan tokoh perancangan bandar berpengalaman lebih 40 tahun, berkata pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin kepada perjuangan dan sumbangannya dalam bidang pembangunan bandar di peringkat domestik serta global.
“Saya gembira dan terharu kerana USM memberikan anugerah ini bukan hanya kepada diri saya, tetapi kepada semua yang terlibat dalam perjalanan hidup saya dari Kuala Pilah sampailah ke New York, Geneva, dan kembali ke Kuala Lumpur.
“Ini bukan untuk dijadikan diri saya sebagai contoh, tetapi semangat perjuangan itu perlu diteruskan oleh graduan baharu yang memasuki dan meninggalkan universiti,” katanya kepada pemberita selepas Sidang 1 konvokesyen tersebut.
Menurutnya, motto USM iaitu ‘memimpin’ menjadi inspirasi kepada lima ciri kepimpinan yang dibentuknya berdasarkan pengalaman peribadi sepanjang empat dekad sebagai penjawat awam.
Sambil menyentuh tentang perubahan dunia yang semakin pesat, Maimunah berkata tahun 2025 menyaksikan sejarah apabila populasi bandar melebihi penduduk luar bandar buat pertama kalinya.
“Ketika anda membina masa depan Malaysia yang semakin urban dan dinamik, jangan lupakan amanah terhadap masyarakat. Suara, tindakan dan keberanian anda akan menentukan hala tuju negara.
“Tuntutlah kepimpinan yang bertindak, bukan sekadar memukau dengan kata-kata. Hari ini ramai yang pandai berjanji, tetapi sedikit yang menunaikannya.
“Masyarakat tidak mahukan slogan. Mereka mahukan kejujuran, integriti dan tindakan yang membawa perubahan,” tegasnya.
Beliau turut menggesa generasi muda agar berani mempertahankan kebenaran dan tidak gentar mempersoalkan perkara yang salah demi masa depan negara.

