Keputusan mengenai tahanan rumah Najib diketahui hari ini

KUALA LUMPUR – Nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sama ada dibenarkan untuk menjalani baki hukuman pemenjaraan di rumah akan diketahui hari ini di Mahkamah Tinggi di sini.

Keputusan berhubung Titah Adendum itu akan disampaikan oleh Hakim Alice Loke Yee Ching, yang telah mendengar hujahan daripada pihak-pihak terlibat sebelum ini.

Jika permohonan Najib dibenarkan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan menjalani hukuman penjara di kediamannya di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, sekiranya mahkamah menolak permohonan tersebut, Najib perlu kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Hukuman tahanan rumah ini merupakan sebahagian daripada hukuman enam tahun penjara dan denda RM50 juta selepas beliau didapati bersalah dalam kes dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Terdahulu, pihak pembelaan Najib dalam sidang akhbar menegaskan, sekiranya permohonan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum itu dibenarkan, Najib akan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, berkata perintah itu akan membolehkan bekas Perdana Menteri menjalani baki hukuman penjara di kediamannya serta-merta jika diputuskan mahkamah.

Keputusan yang sepatutnya diumumkan pada 5 Januari ini telah diawalkan selepas firma guaman Shafee & Co memohon pertimbangan semula tarikh keputusan, tertakluk kepada ketersediaan dan budi bicara hakim.

Dalam semakan kehakiman tersebut, Najib menamakan beberapa responden termasuk Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, serta beberapa pegawai kanan kerajaan.

Antara relif yang dipohon ialah supaya responden memberikan salinan titah utama Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadap Najib, serta melaksanakan titah itu dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya untuk menjalani baki hukuman di rumah.

BACA JUGA:  Jemaah umrah terkandas di Jeddah, lelaki nafi dakwaan tiada penginapan dan makanan

Pada Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan telah mengarahkan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum dipercepatkan pendengarannya di Mahkamah Tinggi.

Wani Adawiyah
Wani Adawiyah
waniadawiyah@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...