KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disiasat kerana memijak al-Quran akan didakwa dengan dua pertuduhan di mahkamah, esok.
Jabatan Peguam Negara berkata, individu bernama Vikneswaran a/l Selvanathan itu akan didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan [Akta 574] kerana mencemarkan objek yang dianggap suci, iaitu al-Quran, dengan memijaknya.
Menurut kenyataan itu, perbuatan tersebut didakwa dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia merupakan suatu penghinaan terhadap agama Islam.
Selain itu, tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] kerana membuat dan memulakan suatu hantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Threads.
“Kedua-dua pertuduhan tersebut akan dikemukakan di mahkamah yang mempunyai bidang kuasa pada 3 Mac 2026,” katanya.
Jabatan Peguam Negara memutuskan pendakwaan itu selepas meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia berhubung insiden yang berlaku di Kuantan, Pahang.
Hasil siasatan mendapati terdapat keterangan mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap suspek. -MYBERITA

