KUALA LUMPUR – Penyanyi kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat, 39, meluahkan rasa kesal terhadap layanan seorang kakitangan sebuah bank yang didakwa bercakap dengan nada kasar dan kurang empati ketika berurusan dengan golongan orang kurang upaya (OKU).
Azmi atau nama sebenarnya Khairul Azmi Muhammad Saat berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran video di Instagram apabila berasa tidak wajar untuk terus berdiam diri.
“Saya ini jarang marah sebenarnya. Kalau ada marah pun bukanlah tak pernah marah, tapi tak suka nak buat video dan panjangkan cerita. Tapi hari ini macam tak boleh pula rasanya,” katanya.
Menurut Azmi, kejadian berlaku ketika dia dan isteri ke bank bagi menyelesaikan isu akaun perbankan dalam talian isterinya yang disekat kerana lama tidak digunakan.
Ketika berada di kaunter, isterinya yang juga OKU penglihatan perlu mengambil masa untuk berurusan, namun nombor giliran seterusnya dipanggil dengan cepat.
“Saya faham cara kakitangan kewangan bekerja, tapi dari segi layanan percakapan itu yang tidak profesional dan macam tidak tahu berkongsi dengan golongan OKU seperti kami,” ujarnya.
Tambah Azmi, sebagai individu yang tidak dapat melihat, nada suara memainkan peranan penting dalam menentukan persepsi terhadap layanan yang diberikan.
“Kami tidak nampak, tapi biar nada percakapan itu profesional. Kena belajar teknik komunikasi yang baik. Walaupun kami datang dengan pakaian ringkas, kami bukan datang nak mengemis atau jual tisu. Tolong layan dengan profesional,” katanya.
Menurutnya, dari segi urusan kerja, kakitangan tersebut tidak melakukan kesalahan, namun aspek komunikasi dan empati perlu diperbaiki terutama apabila berhadapan pelanggan OKU.
Azmi berharap perkara itu dapat dijadikan pengajaran agar perkhidmatan terhadap golongan kurang upaya dapat dipertingkatkan pada masa hadapan.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata netizen meluahkan rasa simpati terhadap pasangan itu serta berharap institusi perbankan lebih peka terhadap keperluan pelanggan OKU. – MYBERITA
