SHAH ALAM – Pusat bandar Shah Alam dilaporkan lenggang apabila ribuan warga kota mula meninggalkan kawasan itu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut esok.
Menerusi perkongsian pengguna media sosial @khai9.2889, suasana di sekitar Seksyen 13 yang lazimnya sesak dengan kenderaan kini bertukar menjadi lancar tanpa sebarang kesesakan trafik. Keadaan itu memberi kelegaan kepada penduduk tetap yang masih berada di bandar berkenaan.
Seorang pengguna, Hironakamurasan, berseloroh dengan menyatakan, “Akhirnya jadi Shah Alam, kalau selama ini dia ‘Shah Aley’,” merujuk kepada gelaran gurauan yang sering digunakan warga kota bagi menggambarkan dominasi penduduk dari Pantai Timur di kawasan tersebut.
Istilah berkenaan turut dipersetujui pengguna lain yang menganggap suasana lengang ini sebagai perubahan luar biasa berbanding kesibukan harian sebelum ini.
Selain itu, seorang lagi pengguna meluahkan rasa syukur kerana kawasan tersebut tidak lagi sesak seperti hari-hari sebelumnya, sekali gus memudahkan pergerakan harian.
Dalam pada itu, beberapa lokasi tumpuan termasuk pusat membeli-belah di sekitar Shah Alam turut dilaporkan sunyi. Ada yang menyifatkan suasana tenang itu sebagai sesuatu yang jarang dinikmati dan amat dirindui oleh penduduk setempat.
“Dah boleh buat joget ‘Jodoh Lebaran’ dekat tengah-tengah lampu isyarat tanpa gangguan,” seloroh seorang pengguna, Rizmarashid.
Seorang lagi pengguna, Jenaisparlezvous, turut berkongsi bahawa kawasan seperti Putra Heights juga kelihatan lengang, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk melakukan persiapan saat akhir menjelang Aidilfitri dengan lebih selesa. – MYBERITA

