KUALA LUMPUR – Tindakan mencurigakan seorang lelaki warga asing yang merakam penumpang wanita di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya berjaya dikesan oleh orang awam, semalam.
Menurut hantaran yang dimuat naik di Threads oleh pengguna Ryumensensei, kejadian itu mula disedari apabila suspek dilihat memegang telefon pintar dalam kedudukan merakam ke arah seorang penumpang wanita.
Kakitangan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) segera bertindak menahan suspek dan melakukan pemeriksaan terhadap telefonnya.
“Nasib baik ada staf Prasarana dan terus cekup pervert macam ini,” kata Ryumensensei, sambil menambah bahawa insiden itu membangkitkan kebimbangan terhadap keselamatan penumpang wanita.
Beberapa pengguna media sosial meluahkan kebimbangan dan berkongsi pengalaman mereka menghadapi situasi sama. Seorang pengguna, Enamtujuhmakan, menceritakan bahawa dia pernah menjadi mangsa rakaman tanpa izin, dengan telefon suspek memuat naik gambar wanita Melayu, Cina dan India tanpa kebenaran.
Pengguna lain menasihati orang ramai, terutama wanita, agar sentiasa berwaspada ketika menaiki pengangkutan awam.
“Kalau duduk berhadapan mereka, memang tutup habis letak beg kat depan dan pandang tepi je,” kata Zurie.Yanna.
Prasarana menegaskan pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan dan menggesa penumpang agar melaporkan sebarang kelakuan mencurigakan demi keselamatan semua. – MYBERITA

