SHAH ALAM – Perjalanan seni penyanyi muda, Althea bersama pengurusnya yang juga ibu, Nana Mahazan terhenti lebih awal apabila mereka diumumkan sebagai peserta pertama tersingkir dalam program Talk To My Manager Musim 2 (TTMM2), malam tadi.
Keputusan tersebut dibuat selepas persembahan konsert minggu ketiga yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA, menyaksikan Althea memperoleh markah terendah sebanyak 58.6 peratus daripada barisan juri.
Pada malam bertemakan “Hati Ingin Berbicara, Hati Pun Ingin Bertanya”, Althea mempertaruhkan lagu Halaman Cinta nyanyian asal Misha Omar, namun gagal menambat hati juri untuk kekal dalam pertandingan.
Turut berada dalam kelompok tercorot minggu ini ialah Fariedz Fazley yang diuruskan Datuk Fazley Yaakob serta Anggrek di bawah bimbingan Adira Suhaimi.
Sementara itu, persembahan menggunakan karya suntingan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut mencuri perhatian juri, dengan Viviana di bawah kendalian Ani Mayuni muncul peserta terbaik minggu ini apabila meraih 84.33 peratus. Tidak kurang hebat, Kim Khairi yang diuruskan Safura mencatat 81.67 peratus.
Kim bersama Safura turut menerima Anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie minggu ketiga sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta hamper.
Dalam pada itu, anugerah Manager Paling Perform minggu ketiga menjadi milik Datuk A. Aida hasil undian penonton menerusi laman sesawang rasmi program.
Program ini dihoskan Datuk Aznil Nawawi, manakala kerusi juri tetap diisi Che Puan Sarimah Ibrahim dan Datuk AC Mizal. Minggu ketiga turut menampilkan juri jemputan, Datuk Ramli MS.
Antara pasangan lain yang masih bersaing termasuk Datuk Seri Vida bersama Cik B, Jamilulhayat dan Hussain, selain Linda Jasmine bersama Ratu serta Pak Azad dan Amarra.
Minggu hadapan, para peserta bakal diuji menerusi tema “Dan Lagu-Lagu Di Radio” yang dijangka menampilkan cabaran berbeza buat semua pasangan yang masih bertanding.

