GEORGE TOWN – Hasrat seorang ibu untuk melihat anaknya sekadar mencuba nasib dalam sesi uji bakat bertukar menjadi pengalaman luar biasa apabila kanak-kanak itu dipilih sebagai pelakon tambahan dalam filem Netflix The Big Fix yang dibintangi pelakon terkenal Hollywood, Mark Wahlberg.
Perkongsian itu dibuat menerusi akaun Threads milik @atiqa.ramli yang menceritakan keterujaannya selepas mengetahui anaknya bakal menjalani penggambaran filem antarabangsa tersebut di Pulau Pinang.
View on Threads
Menurut wanita itu, pada mulanya dia tidak menyedari anaknya terlibat dalam produksi filem Hollywood kerana menyangka penggambaran yang disertai hanyalah untuk sebuah iklan komersial.
“Jujur saya baru tahu. Sebelum ini ingat anak jadi pelakon tambahan iklan minuman atau makanan. Tak tahu dekat kad dah tulis tajuk filem The Big Fix. Maaf, kita bukan orang seni,” katanya.
Katanya lagi, keadaan menjadi lebih mengujakan apabila pada hari sama tular kehadiran Mark Wahlberg di Pulau Pinang bagi menjalani penggambaran filem berkenaan.
“Kecoh hari ini Mark Wahlberg datang Penang. Tak tahulah kebetulan atau apa, tapi esok anak aku ‘shooting’ filem Hollywood juga sebagai pelakon tambahan, watak pemain bola sekolah. Adakah filem yang sama? Kita nantikan esok,” katanya.
Wanita itu turut memaklumkan peluang tersebut hadir selepas jurulatih bola sepak anaknya menggalakkan kanak-kanak berkenaan menghadiri sesi uji bakat yang diadakan pihak produksi.
“Terima kasih banyak dekat ‘coach’ dia sebab galak untuk cuba uji bakat ini,” ujarnya.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang menyifatkan peluang berlakon dalam produksi Hollywood sebagai pengalaman yang sukar diperoleh, khususnya bagi kanak-kanak tempatan.
Antara komen yang ditinggalkan termasuk ucapan tahniah serta harapan agar pengalaman itu menjadi kenangan berharga apabila dewasa kelak. Ada juga yang berharap kanak-kanak itu berpeluang bertemu dan bergambar bersama Mark Wahlberg sepanjang penggambaran berlangsung.
Sebelum ini, kehadiran Mark Wahlberg di George Town mencetuskan perhatian ramai selepas beberapa rakaman video memaparkan pelakon Hollywood itu berada di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang yang dipercayai digunakan bagi penggambaran filem The Big Fix.


