KUALA LUMPUR – Program realiti popular Kilauan Emas kembali dengan nafas baharu apabila buat julung kalinya mempertaruhkan barisan selebriti veteran menerusi edisi Kilauan Emas Selebriti 2026, yang bukan sahaja mengetengahkan bakat nyanyian, malah membawa misi kebajikan untuk membantu golongan artis veteran yang memerlukan.
Edisi kali ini menampilkan 10 personaliti terkenal tanah air yang akan bersaing bagi mengumpul sumbangan amal melalui kemenangan mingguan antaranya, Maria Tunku Sabri, Dato Jalaludin Hassan, Amyza Aznan, Zila Bakarin, Mubarak Majid, Rahhim Omar, Rashdan Baba, Khaty Azian, Dato A Tamimi Sriegar dan Fazlina Ahmad Daud.
Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd Salleh berkata, pembaharuan itu menjadikan Kilauan Emas Selebriti lebih daripada sekadar pertandingan nyanyian kerana turut membawa nilai kemasyarakatan menerusi konsep “Talent That Gives Back”.
“Kilauan Emas Selebriti lebih daripada sekadar sebuah pertandingan nyanyian, ia turut membawa misi kemasyarakatan menerusi konsep ‘Talent That Gives Back’. Menerusi inisiatif ini, setiap kemenangan mingguan akan disertakan dengan sumbangan amal kepada rakan-rakan artis veteran yang memerlukan, sekali gus menjadikan program ini sebagai platform yang bukan sahaja meraikan bakat, tetapi turut memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, program itu juga bakal memperkenalkan segmen baharu dikenali sebagai “Telan Kaset”, yang akan menampilkan kemunculan artis-artis legenda tanah air pada setiap minggu sebagai usaha menghidupkan semula nostalgia dalam kalangan penonton.
“Selain itu, program ini turut membawakan segmen istimewa ‘Telan Kaset’, yang akan menampilkan kemunculan artis-artis legenda tanah air pada setiap minggu. Segmen khas ini direka bagi menghidupkan kembali nostalgia dalam kalangan penonton serta menyuntik nilai sentimental yang menjadi antara kekuatan utama Kilauan Emas sejak ia diperkenalkan,” katanya.
Berbeza dengan musim terdahulu yang memberi peluang kepada orang awam, Kilauan Emas Selebriti 2026 hanya membuka penyertaan kepada personaliti terkenal yang bukan penyanyi profesional.
Musim terbaharu itu bakal bersiaran mulai 22 Ogos, setiap Sabtu, jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105) turut menyaksikan kembalinya Raja Azura sebagai pengacara utama selepas mengendalikan program berkenaan dari musim pertama hingga musim kelima. Beliau akan digandingkan bersama Keanu Azman sebagai rakan pengacara.
Sementara itu, barisan juri menampilkan Jihan Muse sebagai juri tetap bersama Datuk Yusry KRU, selain diserikan dengan kehadiran juri jemputan berbeza pada setiap minggu.
Bagi memastikan konsep pertandingan kekal asli, peserta perlu memenuhi beberapa syarat termasuk merupakan warganegara Malaysia berusia 50 tahun dan ke atas, tidak pernah menerima latihan nyanyian secara profesional serta tidak pernah menghasilkan atau menerbitkan album muzik.
Dengan gabungan elemen hiburan, nostalgia dan kebajikan, Kilauan Emas Selebriti 2026 dijangka menawarkan pengalaman berbeza kepada penonton sambil memberi peluang kepada selebriti veteran menyumbang kepada masyarakat melalui pentas pertandingan nyanyian.


