PUTRAJAYA – “Biar darah, keringat dan jiwa menjadi taruhan, Malaysia tetap kami pertahankan.”
Itu antara amanat penuh semangat Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris yang disampaikan secara langsung dari kokpit Sukhoi SU-30MKM ketika beliau sendiri mengetuai pertunjukan udara sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di sini, hari ini.
Kemunculan pegawai tertinggi TUDM itu di ruang udara Putrajaya mencuri perhatian apabila beliau bukan sekadar mengetuai lintas hormat, malah menyampaikan mesej mengenai kesiapsiagaan warga TUDM mempertahankan kedaulatan negara.
“Ampun Tuanku dan salam sejahtera rakyat Malaysia. Saya, Panglima Tentera Udara, serta seluruh perwira-perwira udara, berdiri teguh di angkasa demi mempertahankan kedaulatan tanah air.
“Biar darah, keringat dan jiwa menjadi taruhan, Malaysia tetap kami pertahankan,” katanya sebelum meneruskan aksi pertunjukan udara.
Muhamad Norazlan kemudian menyampaikan ucapan sempena Hari Kebangsaan ke-69 dengan membawa bersama tiga nilai utama yang menjadi pegangan warga TUDM.
“Selamat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-69, Malaysia Madani, kesejahteraan dinikmati. Duty, honour, sacrifice (tugas, kehormatan, pengorbanan). Ampun, Tuanku,” katanya.
Aksi Panglima TUDM itu turut mencetuskan reaksi dalam kalangan rakyat di media sosial yang rata-rata meluahkan rasa bangga dan terharu melihat sendiri pemimpin tertinggi perkhidmatan berkenaan turun ke lapangan menjayakan persembahan.
Seorang pengguna Threads, @mz_salbee yang juga anak kepada veteran Tentera Darat menyifatkan detik berkenaan cukup bermakna buat dirinya.
“Bangga menjadi anak perempuan kepada seorang veteran Tentera Darat. Pengorbanannya adalah kebanggaan saya.
“Tabik hormat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan Aris, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya.
Sementara itu, pengguna @Wanwnk mengakui tersentuh mendengar amanat berkenaan.
“Aku menangis bahagian (ucapan) ini. Bangga jadi rakyat Malaysia,” katanya.
Seorang lagi pengguna media sosial menyifatkan tindakan Panglima TUDM sendiri terlibat dalam pertunjukan udara sebagai gambaran kepimpinan melalui teladan yang mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda.
“Rasa meremang kan bila lihat seorang yang menjadi ketua pada unitnya berkorban bukan hanya pada kerjaya tapi untuk tampilkan persembahan pada hari Merdeka yang bersejarah ini.
“Semoga anggota keselamatan yang hebat tak kira apa pangkat yang mereka sandang membuatkan generasi muda minat untuk menjadi pelapis mereka. Salute (tabik) pada mereka yang menggalas tanggungjawab pada negara,” katanya.
Pertunjukan udara TUDM menjadi antara segmen yang paling mencuri tumpuan sepanjang Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 apabila deruman pesawat pejuang menggegarkan ruang udara Putrajaya.
Selain memeriahkan sambutan, pertunjukan itu turut menjadi manifestasi keupayaan, profesionalisme dan tahap kesiapsiagaan TUDM dalam menjaga serta mempertahankan ruang udara dan kedaulatan negara.

