LOS ANGELES – Selepas beberapa percubaan menghidupkan semula francaisnya, Resident Evil kembali mencuri perhatian apabila filem reboot arahan Zach Cregger mencatat pembukaan terbesar dalam sejarah siri filem seram itu.
- Filem terbaharu berkenaan mengutip AS$60 juta (kira-kira RM252 juta) pada hujung minggu pembukaan di Amerika Utara, jauh mengatasi jangkaan awal sekitar AS$40 juta hingga…
- Prestasi itu sekali gus memecahkan rekod pembukaan francais yang sebelum ini dipegang Resident Evil: Afterlife pada 2010 dengan kira-kira AS$26 juta.
- Lebih menarik, kutipan tiga hari filem baharu itu hampir menyamai keseluruhan kutipan domestik Afterlife yang berjumlah AS$60.1 juta sepanjang tayangannya di Amerika Utara.
- Di pasaran antarabangsa, Resident Evil menambah AS$48.3 juta, menjadikan kutipan pembukaan globalnya mencecah AS$108.3 juta (kira-kira RM455 juta).
Filem terbaharu berkenaan mengutip AS$60 juta (kira-kira RM252 juta) pada hujung minggu pembukaan di Amerika Utara, jauh mengatasi jangkaan awal sekitar AS$40 juta hingga AS$50 juta.
Prestasi itu sekali gus memecahkan rekod pembukaan francais yang sebelum ini dipegang Resident Evil: Afterlife pada 2010 dengan kira-kira AS$26 juta.
Lebih menarik, kutipan tiga hari filem baharu itu hampir menyamai keseluruhan kutipan domestik Afterlife yang berjumlah AS$60.1 juta sepanjang tayangannya di Amerika Utara.
Di pasaran antarabangsa, Resident Evil menambah AS$48.3 juta, menjadikan kutipan pembukaan globalnya mencecah AS$108.3 juta (kira-kira RM455 juta).
Pencapaian itu cukup signifikan selepas percubaan reboot terdahulu, Resident Evil: Welcome to Raccoon City pada 2021 hanya meraih AS$42 juta di seluruh dunia berbanding kos produksi AS$25 juta.
Filem baharu yang menelan belanja kira-kira AS$75 juta itu turut menjadi pembukaan terbesar sepanjang kerjaya pengarahan Cregger, mengatasi Weapons yang meraih AS$43.5 juta ketika ditayangkan pada 2025.
Kejayaan tersebut bukan sekadar didorong populariti nama Resident Evil, malah hadir bersama penerimaan positif pengkritik dan penonton.
Pengkritik The Guardian menyifatkan filem itu sebagai sebuah pengalaman seperti menaiki ‘rollercoaster’, dengan Cregger menggabungkan unsur seram, komedi dan struktur permainan video untuk menghasilkan pendekatan berbeza daripada adaptasi terdahulu.
Kali ini, Austin Abrams membawakan watak Bryan, seorang penghantar perubatan yang terperangkap dalam wabak mengerikan ketika menjalankan penghantaran pada waktu malam.
Berbeza dengan protagonis aksi yang lebih gagah dalam beberapa filem terdahulu, Bryan digambarkan sebagai individu biasa yang sering melakukan kesilapan dan panik ketika berdepan ancaman, sekali gus memberikan elemen komedi serta sisi manusia kepada jalan cerita.
Cregger turut membawa filem berkenaan lebih dekat kepada pengalaman permainan video asal dengan elemen survival, raksasa dan perjalanan watak yang bergerak dari satu ancaman ke ancaman lain.
Resident Evil merupakan filem kelapan dalam francais layar lebar yang bermula pada 2002 menerusi filem lakonan Milla Jovovich, selepas permainan video terbitan Capcom mula diperkenalkan pada 1996.
Kejayaan pembukaan kali ini memberi nafas baharu kepada francais berusia lebih dua dekad itu selepas siri berkenaan melalui beberapa filem dengan penerimaan bercampur-campur sebelum ini. – MYBERITA
