Jumaat | 25/09/2026 | 9:27:28 pm
HomeSukanAzeem ke final 100m Sukan Asia, buru emas jam 10 malam ini

Azeem ke final 100m Sukan Asia, buru emas jam 10 malam ini

NAGOYA – Impian jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi untuk kembali menaiki podium Sukan Asia kini semakin hampir selepas mengesahkan tempat dalam final acara 100 meter (m) lelaki Aichi-Nagoya 2026, sebentar tadi.

Pelari berusia 22 tahun itu menamatkan saingan separuh akhir ketiga di tempat kedua dengan catatan 10.25 saat (s) di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium, sekali gus memastikan namanya berada dalam kelompok lapan pelari yang akan berentap merebut pingat malam ini.

Beraksi di lorong lima, Azeem pada awalnya berada di hadapan sebelum dipintas pelari Korea Selatan, Joeljin Nwamadi yang melakukan pecutan penghujung untuk memenangi perlumbaan dengan catatan 10.17s.

Catatan Nwamadi itu menyamai masa yang direkodkan Azeem ketika mengungguli saringan kelima, semalam.

Saingan final bagaimanapun dijangka lebih sengit apabila pelari Thailand, Puripol Boonson muncul sebagai pencabar utama selepas mencipta rekod baharu Sukan Asia dengan catatan sensasi 9.91s pada peringkat separuh akhir.

Final 100m lelaki dijadualkan berlangsung pada jam 9 malam waktu Malaysia, dengan Azeem membawa cabaran negara dalam perebutan pingat acara raja pecut itu.

Azeem sebelum ini menegaskan dia mahu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap corak lariannya sendiri tanpa terlalu memikirkan prestasi pencabar lain.

“Saya hanya mahu berlari dengan cara saya sendiri dan tidak memikirkan apa yang dilakukan pelari lain,” katanya selepas saingan pusingan awal.

Seorang lagi wakil negara, Muhammad Umaira Subri pula terlepas tiket ke final selepas menduduki tempat ketujuh dalam separuh akhir pertama, namun berjaya memperbaharui catatan peribadi dengan masa 10.39s.

Azeem merupakan pemenang pingat gangsa 100m pada edisi Sukan Asia terdahulu di Hangzhou dan kini berpeluang sekali lagi mencabar kedudukan podium di Nagoya.

– MYBERITA

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Jumaat, 25 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|