Sabtu | 03/10/2026 | 8:09:32 pm
HomeGaya HidupKesihatanTujuh tahun dinanti, Hanan Qaireen menang saman RM12.19 juta

Tujuh tahun dinanti, Hanan Qaireen menang saman RM12.19 juta

MELAKA – Selepas tujuh tahun menanti cahaya mata, keluarga Noraisah Ali, 42, akhirnya memperoleh sedikit kelegaan apabila anaknya, Hanan Qaireen Mohd Sukri, 8, menang saman kecuaian perubatan dengan ganti rugi berjumlah RM12.19 juta.

Mahkamah Tinggi Ayer Keroh pada Jumaat menganugerahkan jumlah berkenaan kepada Hanan yang mengalami kerosakan otak ketika proses kelahiran dan kemudiannya didiagnosis menghidap Cerebral Palsy Spastik Kuadriplegia.

Noraisah berkata, keputusan itu disambut dengan penuh kesyukuran kerana wang berkenaan akan digunakan untuk menampung keperluan Hanan yang memerlukan penjagaan, rawatan serta peralatan khas sepanjang hayat.

“Saya pun macam tak sangka, tak duga dapat amaun macam itu sekali. Saya bersyukur sangat sebab untuk keperluan anak Cerebral Palsy ini, banyak peralatan yang diperlukan dan semuanya mahal,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Menurutnya, Hanan kini memerlukan pelbagai peralatan termasuk kasut AFO, standing frame, reverse walker dan kerusi roda yang perlu ditukar mengikut perkembangan fizikalnya.

Kasut AFO yang digunakan Hanan kini berharga lebih RM2,000, manakala standing frame hampir RM2,000 dan reverse walker pula melebihi RM1,000.

Kos berkenaan, katanya, turut perlu ditanggung bersama perbelanjaan terapi dan keperluan lain yang meningkat seiring dengan tumbesaran Hanan.

“Anak makin tinggi, peralatan pun kena tukar. Itu belum termasuk terapi dan keperluan lain,” katanya.

Hanan turut mengalami sawan sejak lahir dan keadaan itu berterusan sehingga kini, dengan dua pemeriksaan elektroensefalogram (EEG) menunjukkan aktiviti sawan yang dipercayai berkait dengan kerosakan otak dialaminya.

Noraisah berkata, ketika Hanan berusia antara lima hingga enam tahun, dia kerap berjaga malam kerana anaknya mengalami sawan ketika tidur dan turut pernah mengalaminya ketika makan.

Selain itu, Hanan mengalami scoliosis atau tulang belakang bengkok, masih menjalani terapi dan belum mampu bercakap dengan baik, sebaliknya berkomunikasi menggunakan isyarat serta beberapa perkataan ringkas.

Mengimbau kelahiran Hanan pada 18 Februari 2018, Noraisah berkata, kehamilannya berjalan seperti biasa walaupun dia mengalami kencing manis ketika hamil yang dikawal melalui pemakanan.

Bagaimanapun, keadaan berubah selepas dia dimasukkan ke Hospital Melaka apabila air ketubannya pecah kira-kira jam 10.30 malam.

Ketika itu, bukaan dilaporkan sudah mencapai lapan sentimeter sebelum Hanan mengalami masalah degupan jantung dan kekurangan oksigen.

Hanan kemudiannya dilahirkan melalui pembedahan sebelum menerima bantuan mesin pernafasan dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama sembilan hari.

Noraisah berkata, ketika itu keutamaannya hanya memastikan anak yang dinanti selama tujuh tahun itu terus hidup, tanpa memikirkan keadaan dirinya sendiri.

“Saya kata, janji anak saya hidup, saya dah syukur. Apa yang terjadi kepada saya, saya reda sebab nak dapatkan Hanan ini bukan sekejap, tujuh tahun saya menanti,” katanya.

Selepas Hanan membesar dan keperluannya semakin bertambah, keluarga berkenaan memutuskan untuk membawa perkara itu ke mahkamah pada 2023 bagi memastikan keperluan anaknya pada masa hadapan terjamin.

Saman yang difailkan pada 30 Oktober 2023 itu menamakan 11 defendan termasuk Kerajaan Malaysia, pengarah hospital serta sembilan doktor.

Hanan menyaman melalui bapanya, Mohd Sukri Mahat, 46, sebagai wakil litigasi yang sah.

Plaintif diwakili peguam Nur Maizatul Syakira Hashim dan Mohamed Fadly Zakariya, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Norafiah Saini mewakili Kerajaan Malaysia.

Dalam tuntutan itu, Hanan mendakwa kerosakan otak berlaku ketika proses kelahiran akibat kecuaian defendan sehingga menyebabkan dia didiagnosis mengalami Cerebral Palsy Spastik Kuadriplegia.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Isa Aziz Ibrahim menganugerahkan RM10.77 juta sebagai ganti rugi am masa hadapan bagi kos dan perbelanjaan yang akan ditanggung keluarga sepanjang hayat Hanan kerana dia tidak mampu berdikari.

Jumlah itu merangkumi keperluan rawatan, rehabilitasi dan bantuan pelbagai disiplin lain.

Mahkamah turut menganugerahkan RM500,000 bagi ganti rugi am, RM441,754.83 ganti rugi khas, RM300,000 ganti rugi teruk, RM157,792.22 ganti rugi prabicara serta RM176,718.75 bagi kos guaman dan perbelanjaan.

Faedah lima peratus turut ditetapkan terhadap jumlah penghakiman.

Noraisah sebelum ini menegaskan tindakan membawa kes berkenaan ke mahkamah bukan didorong rasa dendam, sebaliknya bagi memastikan kebajikan dan keperluan Hanan terjamin memandangkan anaknya memerlukan penjagaan serta bantuan sepanjang hayat.

– Sinar Harian

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Sabtu, 3 Oktober 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|