KOTA TINGGI – Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) yang terlibat dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) akan mula meninggalkan negara itu secara berperingkat mulai Januari depan selepas mandat misi berkenaan berakhir pada hujung Disember ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, proses pengunduran anggota akan dilaksanakan menerusi beberapa penerbangan, manakala aset serta barangan pasukan akan dibawa pulang menggunakan kapal bermula 17 Januari depan.
Beliau berkata, penglibatan MALBATT selama dua dekad bukan sahaja menyumbang kepada usaha mengekalkan keamanan, malah memberi peluang kepada anggota tentera Malaysia mendekati dan membantu masyarakat Lubnan di kawasan pengawasan.
“Saya gembira melihat peranan yang dimainkan MALBATT di Lubnan sepanjang 20 tahun penglibatan tentera Malaysia di sana, dengan 13 tahun daripadanya melalui penugasan satu batalion.
“Selain membantu memastikan keamanan, anggota tentera kita juga menyantuni masyarakat Lubnan di kawasan pengawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi, di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia pada masa sama bersedia mempertimbangkan penyertaan dalam pasukan baharu sekiranya PBB memutuskan penubuhan misi berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, sebarang penglibatan Malaysia mestilah berdasarkan mandat yang ditetapkan badan dunia itu.
“Namun, hal ini tertakluk pada keputusan PBB. Kita tidak akan terlibat dalam sebarang operasi yang tidak berada di bawah mandat badan dunia berkenaan,” katanya.
Menurutnya, isu berhubung masa depan misi pengaman di Lubnan turut dibincangkan ketika lawatan kerja beliau ke negara itu baru-baru ini.
Katanya, rakan sejawatnya di Lubnan memaklumkan keadaan keselamatan di negara berkenaan masih bergolak dan terdedah kepada pelbagai ancaman.
Mohamed Khaled berkata, persidangan PBB yang sedang berlangsung ketika ini turut menyaksikan sebahagian besar negara yang menyertai misi pengaman menyuarakan pandangan supaya penamatan misi UNIFIL dikaji semula.
Malaysia mula menyertai misi UNIFIL di Lubnan pada 2007 sebelum meningkatkan penglibatan kepada penugasan satu batalion pada 2013.
– RTM
