JOHOR BAHRU – Insiden sebuah lori hijau yang dipandu secara berbahaya termasuk melawan arus di Pasir Gudang hujung bulan lalu kini membawa dua lelaki ke mahkamah dengan pelbagai pertuduhan, termasuk mencuri kenderaan, menghalang polis, memiliki dadah dan cubaan membunuh.
Pengarah syarikat, Chai Min Quan, 37, dan pekerja kilang plastik, Low Boon Lai, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di beberapa mahkamah di sini.
Kedua-duanya didakwa bersama-sama mencuri sebuah motolori jenis CD45 milik seorang lelaki di kawasan parkir hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Mutiara, Taman Perindustrian Plentong, Masai, kira-kira pukul 7.40 pagi pada 30 September lalu.
Pertuduhan di hadapan Majistret A. Shaarmini dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Tidak lama selepas itu, kedua-duanya didakwa memandu lori berkenaan secara berbahaya dengan melakukan perbuatan melawan arus serta membuat pusingan U di Jalan Mawar Biru, Seri Alam, Pasir Gudang kira-kira pukul 10.20 pagi pada hari sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa di hadapan Majistret Nur Fatin Muhammad Farid mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM15,000, jika sabit kesalahan.
Boon Lai pula berdepan dua lagi pertuduhan di hadapan Majistret Atifah Hamizah Wahab iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta memiliki 0.7 gram dadah jenis methamphetamine.
Dia didakwa menghalang polis di kawasan pentadbiran Balai Polis Pasir Putih kira-kira pukul 8.25 pagi, manakala kesalahan memiliki dadah didakwa dilakukan di tepi Jalan Mawar Biru, Pasir Gudang pada pukul 10.20 pagi, juga pada 30 September.
Pertuduhan menghalang penjawat awam dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, manakala kes memiliki dadah dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama.
Dalam pada itu, Min Quan turut dibawa ke Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim N. Kanageswari atas pertuduhan cuba membunuh seorang wanita mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Dia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Mahkamah membenarkan Min Quan diikat jamin RM17,000 dengan seorang penjamin, manakala Boon Lai dibenarkan ikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Oktober, 5 dan 18 November serta 7 Disember bagi urusan termasuk serahan dokumen, lantikan peguam dan laporan kimia.
– KOSMO
