KUALA LUMPUR – Murid di semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mulai Jumaat susulan penutupan sekolah akibat keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di dua stesen pemantauan, iaitu Cheras dan Batu Muda setakat jam 2 petang Khamis.
Menurut jabatan itu, langkah berkenaan turut selaras dengan ketetapan KPM serta titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menzahirkan keprihatinan terhadap keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu yang melanda negara.
“Institusi pendidikan yang terjejas perlu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan pembelajaran murid dapat diteruskan dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.
“Berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan,” menurut kenyataan itu.
JPWPKL berkata, pihaknya bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan akan terus memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa bagi menentukan tindakan susulan berdasarkan perkembangan terkini.
Pada masa sama, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan keadaan jerebu serta memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak sepanjang tempoh berkenaan.
Penutupan institusi pendidikan di Kuala Lumpur itu menyusul selepas beberapa negeri lain termasuk Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya turut mengumumkan penutupan sekolah pada Jumaat.
Langkah berkenaan dilaksanakan sebagai tindakan berjaga-jaga bagi mengurangkan pendedahan murid, guru dan warga pendidikan kepada pencemaran udara yang boleh menjejaskan kesihatan. – MYBERITA
