KUALA LUMPUR – Isu keperluan penginapan mahasiswa di institusi pengajian tinggi mendapat perhatian apabila Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merancang memperuntukkan RM750 juta bagi membangunkan kemudahan kediaman khusus untuk pelajar universiti.
Peruntukan menerusi Projek Vista Kampus itu bakal memberi tumpuan kepada pembangunan penginapan pelajar di universiti awam dan swasta terpilih, sekali gus menyokong keperluan infrastruktur pendidikan tinggi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen pelaburan strategik KWAP yang diumumkan susulan pembentangan Belanjawan 2027.
Selain pembangunan penginapan pelajar, KWAP turut merancang pelaburan RM1.5 bilion melalui Dana Pemacu bagi memperkukuh keupayaan pengurusan dana tempatan, menarik penyertaan modal swasta dan memperluas akses pembiayaan kepada syarikat Malaysia yang sedang berkembang.
“Belanjawan 2027 memperlihatkan peranan penting modal domestik jangka panjang sebagai pemangkin kemajuan ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, KWAP akan terus mengutamakan pengurusan Dana Persaraan secara berhemat bagi memastikan pulangan pelaburan jangka panjang yang mampan, selain meneroka peluang baharu selaras dengan keutamaan pembangunan negara di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
Dalam perkembangan sama, sebanyak RM200 juta dirancang disalurkan melalui Dana Perintis bagi merancakkan ekosistem syarikat pemula niaga dan inovasi tempatan.
KWAP juga merancang menyalurkan RM1 bilion melalui Dana Iklim+ bagi menyokong pelaburan berteraskan iklim serta mempercepat peralihan tenaga negara.
Sektor semikonduktor turut menerima perhatian dengan perancangan peruntukan sehingga RM1 bilion bagi memperkukuh keupayaan industri tempatan sepanjang rantaian nilai dan meningkatkan daya saing Malaysia.
Bagi menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan universiti, kerajaan bersama KWAP akan mewujudkan Dana UniVC bernilai RM50 juta untuk menyokong pembangunan inovasi serta menarik penyertaan modal swasta.
Jay Khairil berkata, komitmen berkenaan mencerminkan peranan KWAP sebagai syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam menggerakkan modal jangka panjang bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Bagaimanapun, semua perancangan pelaburan itu tertakluk kepada proses penilaian KWAP, termasuk pertimbangan risiko, potensi pulangan dan keadaan pasaran semasa.
KWAP turut menegaskan komitmennya terhadap tanggungjawab fidusiari serta mandat di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662) bagi memastikan kepentingan pesara terus terpelihara.
Sementara itu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 semalam mengumumkan kenaikan kadar pencen minimum bulanan daripada RM1,000 kepada RM1,350.
Peningkatan itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 59,000 pesara dan penerima pencen terbitan, selain pemberian bantuan kewangan khas sebanyak RM750 kepada pesara kerajaan. – BERITA HARIAN
