PETALING JAYA – Tidak mahu anak-anak terus menerima tempias kontroversi, isteri kepada pelawak Shuib, Watie Hanafiah akhirnya tampil mempertahankan diri susulan dakwaan kononnya dia menjalinkan hubungan sulit dengan suaminya ketika Allahyarham Siti Sarah Raissuddin masih hidup.
Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 37, menegaskan bahawa dia dan Shuib tidak pernah mengenali antara satu sama lain ketika hayat penyanyi berkenaan, sekali gus menafikan spekulasi yang kembali hangat diperkatakan di media sosial.
Menurutnya, selepas hampir empat tahun mendirikan rumah tangga dan memilih untuk berdiam diri, dia merasakan sudah tiba masanya untuk menjelaskan perkara sebenar demi menjaga maruah keluarga, khususnya anak-anak.
“Kebenaran yang ingin saya sampaikan ialah saya dan suami tidak pernah mengenali antara satu sama lain sejak arwah masih hidup,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Dalam penjelasan sama, Watie turut menafikan dakwaan bahawa Shuib mempunyai hubungan dengan individu dikenali sebagai Eddy Kana yang sebelum ini dikaitkan dengan kontroversi berkenaan.
Katanya, dia sendiri pernah mendapatkan kepastian daripada individu terbabit selepas mengenali Shuib dan dimaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang hubungan peribadi mahupun urusan perniagaan.
“Selepas mengenali suami, saya sendiri pernah bertanya kepada Eddy Kana sama ada dia mengenali suami saya secara peribadi. Menerusi mulutnya sendiri, dia mengatakan tidak pernah mengenali suami saya atau mempunyai sebarang hubungan perniagaan dengannya,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Watie berkata, keputusan untuk tampil bersuara dibuat selepas dua hari mempertimbangkan perkara itu kerana sebelum ini dia lebih selesa mendiamkan diri meskipun sering menjadi sasaran kecaman.
Bagaimanapun, dia mengakui tuduhan yang berterusan semakin memberi kesan apabila turut melibatkan keluarganya.
“Setelah hampir empat tahun berumah tangga dan menyimpan segala rasa, saya rasa sudah tiba masanya untuk mempertahankan diri. Ini bukan lagi tentang saya seorang, tetapi turut melibatkan harta dunia akhirat saya, iaitu anak-anak,” luahnya.
Watie turut mempersoalkan mengapa pertemuannya dengan Shuib sebagai pasangan sering disalah tafsir, namun memilih untuk menyerahkan segala ketentuan kepada Tuhan.
Pada masa sama, dia berharap penjelasan berserta bukti yang dikongsikan dapat menamatkan spekulasi tanpa perlu terus mengheret nama keluarganya dalam kontroversi berkenaan.
“Jangan hanya memandang saya atau suami, tetapi pandanglah anak-anak saya juga,” katanya.
Terdahulu, dakwaan mengenai hubungan Watie dan Shuib kembali mencetuskan perdebatan selepas sebuah video lama memaparkan Watie bermain golf menjadi perhatian pengguna media sosial.
Identiti seorang lelaki dalam rakaman tersebut menimbulkan spekulasi apabila ada pihak mendakwa individu berkenaan ialah Shuib, sekali gus mengaitkan pasangan itu dengan dakwaan hubungan sulit ketika Allahyarham Siti Sarah masih hidup. – KOSMO!
