ALOR SETAR – Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 49.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan masih ditahan polis bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, lelaki berusia 43 tahun itu akan dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan selesai dijalankan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipercayai berhenti di lokasi kejadian bagi tujuan menukar pemandu.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan tiga penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra maut dalam nahas yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhamad Habil Mohd Sobri dari Gurun, Muhammad Fahmi Mohd Jamel dari Jeniang, Sik dan Muhamad Arif Aifan Derani dari Bukit Selambau, Sungai Petani.
Ketiga-tiga mereka berusia 19 tahun.
Difahamkan, semua mangsa menaiki dua motosikal dan dalam perjalanan pulang bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Adib Aiman Mohamad Hasan, turut cedera parah di kaki dan kini dirawat di Zon Kuning, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Polis menahan pemandu MPV terbabit susulan kejadian itu bagi membantu siasatan lanjut.