PASIR GUDANG – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai terus unggul apabila meraih kejuaraan keseluruhan bagi kategori sekolah menengah dalam Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas Daerah Pasir Gudang buat tahun ketiga berturut-turut, sekali gus mencipta rekod hat-trick sejak 2023.
Kejohanan yang berlangsung di perkarangan SMK Kota Masai itu menyaksikan lebih 120 murid berkeperluan khas dari lebih 30 buah sekolah sekitar daerah Pasir Gudang bersaing dalam suasana penuh semangat kesukanan dan inklusiviti.
SMK Kota Masai menyerlah dalam kejohanan kali ini apabila menjuarai kategori Bawah 15 tahun lelaki dan perempuan, di samping mengekalkan pencapaian konsisten di hampir semua kategori yang dipertandingkan. Kejayaan ini dilihat sebagai hasil persiapan rapi dan latihan sistematik yang dilaksanakan sepanjang tahun.
Menurut Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Kota Masai, Jamilah Ali, pencapaian ini bukan sahaja menjadi kebanggaan warga sekolah, malah membuktikan potensi murid istimewa jika diberi sokongan yang berterusan.
“Latihan intensif dan keyakinan terhadap kebolehan murid telah menjadi tunjang utama kejayaan ini. Anak-anak ini mempunyai semangat luar biasa dan mereka membuktikan bahawa keterbatasan bukan penghalang untuk berjaya,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang (Pendidikan Khas), Mohd Haniff Hamid yang turut memuji penganjuran kejohanan tersebut sebagai platform penting dalam membina keyakinan diri serta meningkatkan integrasi sosial murid pendidikan khas.
“Sukan seperti ini bukan sekadar pertandingan, ia merupakan landasan untuk membentuk jati diri, semangat berpasukan dan keterlibatan aktif dalam komuniti sekolah,” jelas beliau.
Kejayaan ini turut mengukuhkan kedudukan SMK Kota Masai sebagai kuasa besar merentas desa pendidikan khas di peringkat daerah, dengan tekad untuk mempertahankan gelaran tersebut pada tahun-tahun akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, Pasir Gudang akan menjadi tuan rumah bagi Karnival Bakat, Sukan dan Permainan Pendidikan Khas Peringkat Negeri Johor yang dijadual berlangsung Jun ini. Johor juga bakal menjadi tuan rumah bagi Karnival Kebolehpasaran Pendidikan Khas peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada bulan September.
Penglibatan aktif guru dan murid dalam arena sukan pendidikan khas dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan sahsiah serta kebolehpasaran murid berkeperluan khas dalam pelbagai bidang pada masa hadapan.

