PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tindakan kerajaan menyiasat dan mendapatkan semula dana negara yang diseleweng tidak bertujuan menghukum individu yang telah meninggal dunia.
Sebaliknya, katanya, fokus utama kerajaan adalah untuk memulihkan semula kekayaan negara yang diperoleh secara tidak sah oleh mana-mana pihak.
“Kita bukan nak hukum orang yang telah mati, kita nak ambil balik duit yang dia ambil secara tidak sah. Maknanya guna ruang Parlimen mempertahankan orang yang memunggah kekayaan berbilion,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MoF) di sini, hari ini.
Kenyataan itu susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyita dan melucut hak pelbagai aset bernilai lebih RM3 bilion milik bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, termasuk aset milik isteri, ahli keluarga dan sekutu rapatnya.
SPRM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan telah mengenal pasti pemilikan aset luar biasa di 11 buah negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Jersey, Itali, Jepun, Indonesia dan beberapa negara di benua Afrika.
Selain itu, SPRM turut memperoleh Perintah Halangan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Jun lalu terhadap tujuh aset alih dan tak alih di United Kingdom yang dianggarkan bernilai RM758 juta.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan kekal komited dalam memastikan integriti pengurusan kewangan negara dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan.

