LAWAS – Seorang lelaki warga emas dikhuatiri maut selepas dipercayai dibaham buaya ketika sedang mandi di jeti sebuah anak sungai di Kampung Siang-Siang, Trusan, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak memaklumkan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 6.48 petang.
Mangsa yang dikenali sebagai Tuan Lamat, 80, dikatakan mandi di jeti berkenaan sekitar jam 5.30 petang.
Namun, sehingga lewat petang, beliau tidak pulang ke rumah sehingga menimbulkan kebimbangan ahli keluarganya.
“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, ahli keluarga bergegas ke lokasi dan hanya menemui tuala serta selipar dipercayai milik mangsa di jeti.
“Penduduk kampung kemudian bersama keluarga mangsa cuba mencari dengan menggunakan perahu, namun mangsa masih gagal ditemui,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut jurucakap itu lagi, operasi pencarian tidak dapat diteruskan kerana faktor cuaca serta keadaan yang semakin gelap.
“Usaha mencari dan menyelamat (SAR) akan disambung semula pada awal pagi esok dengan kerjasama penduduk kampung serta agensi berkaitan,” katanya.

