KUALA LUMPUR – Pelakon popular Fattah Amin meluahkan rasa terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang Artis Kontroversi Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-37 yang berlangsung Jumaat lalu.
Fattah, 35, atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, berkata dia langsung tidak menyangka tercalon dalam kategori tersebut, apatah lagi untuk memenanginya. Bagi pelakon itu, pencalonan dan kemenangan adalah satu bentuk pengiktirafan peminat, walaupun dirinya bukanlah jenis artis yang gemar mencipta kontroversi.
“Saya sendiri tertanya-tanya, adakah saya ini artis kontroversi? Tapi ABPBH adalah anugerah berdasarkan undian peminat. Mungkin peminat teruja melihat saya tercalon, lalu mereka mengundi saya, dan akhirnya rezeki saya menang,”katanya kepada MYBERITA.
Fattah turut menjelaskan kemenangan itu turut mendapat sokongan daripada peminat isterinya, penyanyi Amira Othman.
“Setahu saya memang peminat saya dan Amira bergabung mengundi bersama. Alhamdulillah, saya rasa kemenangan ini hasil gabungan undian mereka,” jelasnya.
Selain itu, Fattah turut merangkul anugerah Aktor Filem Popular, menambah lagi kejayaan pelakon itu pada malam berprestij tersebut. Baginya, setiap pencapaian adalah motivasi untuk terus berkarya dan memberi yang terbaik kepada peminat.
“Tak kisah kategori apa sekalipun, semua anugerah ini hasil undian peminat. Kita sebagai artis perlu melihatnya sebagai satu motivasi untuk terus berkarya. Semua yang tercalon pun hebat-hebat, saya doakan yang terbaik buat rakan-rakan artis,” tambahnya.

