KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Nidzam Jamil sah meletakkan jawatan sebagai pengendali Negeri Sembilan FC berkuat kuasa serta-merta susulan prestasi hambar pasukan itu dalam beberapa perlawanan terakhir.
Kelab berkenaan mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan Nidzam pada Isnin.
Menurut kenyataan rasmi kelab, pihak pengurusan merakamkan penghargaan atas segala usaha serta komitmen yang telah diberikan beliau sejak menyertai pasukan pada awal musim ini.
Dalam perkembangan sama, penolong jurulatih K. Rajan dilantik sebagai ketua jurulatih sementara bagi mengendalikan skuad sehingga pengumuman lanjut dibuat.
âFokus utama kelab dan barisan kejurulatihan ketika ini adalah untuk mengembalikan kestabilan pasukan serta meningkatkan semangat pemain bagi menghadapi baki saingan musim,â menurut kenyataan itu.
Keputusan Nidzam untuk berundur hadir selepas Negeri Sembilan mengalami kekalahan keempat berturut-turut dalam saingan Liga Super Malaysia apabila tewas 2-1 kepada Immigration FC pada Sabtu lalu.
Prestasi semasa skuad Hobin Jang Hobin turut menjadi perhatian apabila mereka tidak mencatatkan sebarang kemenangan sejak menewaskan Kelantan FC 2-0 pada Disember tahun lalu.
Malah, cabaran Negeri Sembilan dalam Piala Malaysia musim ini turut berakhir selepas disingkirkan Selangor FC di peringkat suku akhir menerusi kekalahan agregat 6-1.
Pengurusan kelab dijangka akan mengumumkan perancangan seterusnya dalam masa terdekat bagi memastikan pasukan kembali kompetitif dalam saingan liga.

