Walaupun terlepas peluang meraih pingat, pencapaian tersebut dianggap cukup bermakna apabila Armin sekali lagi mengatasi rekod kebangsaan miliknya sendiri, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai pelari 110m berpagar terpantas negara ketika ini.
Lebih membanggakan, catatan 13.58s itu turut memadam rekod lama 13.67s milik Rayzam Shah Wan Sofian yang bertahan hampir sembilan tahun sejak dilakukan pada 2017.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat memperbaiki rekod kebangsaan sekali lagi walaupun tidak berjaya menaiki podium. Ini memberi keyakinan bahawa saya berada di landasan yang tepat untuk terus bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Menurut Armin, pencapaian tersebut menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasi menjelang kejohanan-kejohanan utama selepas ini.
Dalam perlumbaan itu, pingat emas dimenangi pelari tuan rumah, Zhao Shiqi dari China dengan catatan 13.38s, diikuti rakan senegaranya Zhang Zijun yang meraih perak menerusi catatan 13.41s.
Pingat gangsa pula menjadi milik atlet Qatar, Oumar Dadai yang mencatat masa 13.56s, hanya 0.02 saat lebih pantas daripada Armin.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Elvin Yap Zhi Xian turut mempamerkan aksi memberangsangkan apabila menamatkan perlumbaan di tempat keenam dengan catatan 13.85s.
Sebelum itu, Elvin turut mencipta rekod peribadi (PB) baharu 13.72s ketika saingan saringan, sekali gus membuktikan peningkatan prestasi memberangsangkan dalam acara tersebut.
Prestasi cemerlang Armin dan Elvin dilihat memberi sinar baharu kepada olahraga negara, khususnya dalam acara 110m lari berpagar lelaki yang kini kembali memiliki potensi untuk mencabar dominasi atlet terbaik Asia dan Asia Tenggara. – MYBERITA









