BATU PAHAT – Pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, dipercayai dihentak menggunakan objek keras sehingga mengalami kecederaan parah pada muka dan badan sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah dewan sekolah di Yong Peng, petang semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah kira-kira pukul 5.30 petang sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kecederaan dialami mangsa dipercayai berpunca daripada hentakan objek keras, namun perkara itu masih dalam siasatan dan menunggu pengesahan lanjut menerusi hasil bedah siasat.
“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan parah pada bahagian muka dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di sekitar Pekan Yong Peng kira-kira pukul 7 malam, selepas menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian berkenaan.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sebuah beg, sepasang pakaian dan sepasang selipar bagi membantu siasatan,” katanya.
Ab Rahaman berkata, proses bedah siasat terhadap mayat Irene Sofiya dijalankan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat hari ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Sementara itu, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca serta kronologi sebenar insiden berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MYBERITA
