BATU PAHAT – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes kematian Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang ditemukan maut di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, semalam.
Perintah reman terhadap remaja berusia 16 tahun itu dibenarkan Majistret Mustaqim Sukarno di Mahkamah Batu Pahat, hari ini.
Reman bermula hari ini sehingga Jumaat depan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, pelajar lelaki berkenaan yang dipercayai rakan sekelas mangsa dibawa ke pekarangan Mahkamah Batu Pahat dengan menaiki kenderaan polis kira-kira pukul 10.20 pagi.
Sebelum ini, difahamkan tiga pelajar berusia 16 tahun yang bersekolah di sekolah sama dengan mangsa ditahan beberapa jam selepas penemuan mayat Irene Sofiya kira-kira pukul 5.30 petang.
Penahanan itu dibuat bagi membantu siasatan selepas mangsa ditemukan tidak bernyawa di kawasan dewan sekolah berkenaan.
Dalam kejadian itu, Irene Sofiya dilaporkan tidak pulang ke rumah sebelum ahli keluarga mula mencarinya.
Nenek mangsa bersama beberapa individu kemudian pergi ke sekolah selepas motosikal remaja berkenaan dikatakan masih berada di kawasan sekolah meskipun kelibatnya tidak kelihatan.
Usaha mencari itu akhirnya membawa kepada penemuan Irene Sofiya dalam keadaan tidak bernyawa di kawasan dewan sekolah.
Siasatan polis kini diteruskan bagi mengenal pasti kronologi serta motif kejadian, termasuk mendapatkan keterangan individu yang dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kes.
Setakat ini, pelajar yang direman berkenaan masih dalam siasatan dan perintah reman bukan suatu sabitan atau penentuan bersalah oleh mahkamah. – MYBERITA
