Seniwati legenda Noor Azizah meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Dunia seni tanah air kehilangan sebutir bintang lagenda apabila seniwati tersohor, Datin Noor Azizah Azizul Hassan menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarganya di Ipoh, Perak pada pukul 3 pagi tadi.

Pemergian Allahyarham yang berusia 79 tahun itu disahkan adiknya, Puteh Zabidah, yang memaklumkan bahawa arwah mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.

“Kakak saya sudah menjalani rawatan dialisis sejak setahun lalu, namun keadaan kesihatannya masih terkawal. Cuma pagi tadi, beliau tiba-tiba susah bernafas.

“Kami segera menghubungi ambulan dan pasukan perubatan hadir memberikan bantuan serta pemeriksaan lanjut, namun Allah lebih menyayanginya,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, Allahyarham yang menetap di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur telah pulang ke Ipoh semalam untuk menyambut Syawal bersama keluarga besar. Kepulangan itu turut disambut dengan kehadiran seorang adik arwah yang menetap di luar negara.

Jenazah Allahyarham dijadualkan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Paloh, Ipoh. Noor Azizah meninggalkan dua orang cahaya mata.

Nama Noor Azizah mula bersinar selepas membintangi filem Dayang Senandong terbitan 1965, dan terus melakar sejarah dalam industri perfileman tanah air menerusi lakonannya dalam filem Enam Jahanam arahan Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1969.

Sepanjang kerjaya, beliau telah membintangi lima buah filem tempatan termasuk Dr. Rushdi, sebelum mengembangkan bakatnya ke peringkat antarabangsa menerusi filem Indonesia Jangan Kau Tangisi dan Malim Kundang, di samping pelakon terkenal Rano Karno.

Malah, bakat beliau turut mencuri perhatian penerbit luar negara apabila ditawarkan watak Dr. Susan Lim dalam siri televisyen Australia, Bailey’s Birds pada tahun 1977.

Menariknya, penyertaan Allahyarham dalam dunia seni berlaku secara kebetulan ketika beliau melawat Studio Jalan Ampas di Singapura. Kejelitaan dan pesona beliau memikat hati pengarah terkenal, Datuk Ahmad Mahmud yang kemudian menawarkan beliau watak tambahan dalam Dayang Senandong.

Pemergian Allahyarham Datin Noor Azizah merupakan satu kehilangan besar buat dunia seni tanah air. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

BACA JUGA:  Belum ada ganti jawatan, mereka masih bercuti - PM Anwar
Nurazmin Afza
Nurazmin Afza
azminafza@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...