SLIM RIVER – Polis mengesahkan penemuan satu rangka manusia di sebuah ladang kelapa sawit di Ladang Bukit Besout, Jalan Kuala Slim, di sini, pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan itu pada jam 5.13 petang.
“Hasil siasatan yang dijalankan di lokasi kejadian dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menemukan hampir keseluruhan rangka manusia tersebut, kecuali kedua-dua tapak tangan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut beliau, rangka berkenaan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti identiti dan punca kematian.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diperoleh,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, saudara-mara, rakan atau kenalan agar tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim atau balai polis berhampiran.

