KUALA LUMPUR – Harapan peminat untuk menyaksikan aksi semula perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dalam kejohanan Terbuka Jepun yang akan berlangsung dari 15 hingga 20 Julai ini tidak kesampaian apabila pemain itu disahkan menarik diri.
Menerusi laman rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF), nama Zii Jia disenaraikan antara pemain yang tidak akan bertanding dalam kejohanan tersebut. Perhatian kini beralih kepada Terbuka China di Changzhou (22–27 Julai) dan Kejohanan Dunia di Paris pada Ogos depan.
Penarikan diri ini dipercayai berpunca daripada kecederaan buku lali kanan yang dialaminya ketika aksi peringkat kumpulan pada Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China, Disember lalu. Sejak itu, Zii Jia berehat panjang demi proses pemulihan sepenuhnya.
Untuk rekod, aksi terakhir pemain kelahiran Kedah itu adalah di Seluruh England, namun dia tersingkir seawal pusingan pertama disebabkan kecederaan yang masih belum pulih sepenuhnya.
Ketiadaan dalam beberapa kejohanan menyebabkan ranking dunia Zii Jia menjunam ke kedudukan ke-27. Bagaimanapun, permohonan perlindungan ranking daripada BWF membolehkan beliau mengekalkan status dalam kelompok lapan terbaik dunia buat sementara waktu, membolehkannya menyertai kejohanan utama mengikut syarat tertentu.
Dalam perkembangan lain, Zii Jia menarik perhatian ramai apabila memuat naik satu hantaran misteri di Instagram, memaparkan lakaran ilustrasi hitam putih yang penuh simbolik, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.

